Friday 6 June 2014

Herba: Kunyit kuatkan sistem imun tubuh

KHASIAT kunyit sebagai herba dalam bidang perubatan telah lama diakui.



KUNYIT atau nama sainstifiknya Curcuma longa adalah termasuk dalam salah satu tanaman rempah yang banyak terdapat di wilayah Asia terutamanya di India dan juga di Nusantara.
Kunyit yang merupakan tumbuhan herba lazimnya digunakan sebagai rempah ratus dalam masakan masyarakat Asia. Jika di Malaysia, rempah kunyit sering digunakan dalam masakan gulai bagi memberikan warna kuning dan sebagai bahan pengawet.

Walaupun kunyit lebih popular sebagai pelengkap masakan, namun sedarkah kita bahawa sebenarnya kunyit kaya dengan pelbagai khasiat yang sangat menakjubkan.
Kehebatan herba ini terletak pada ekstrak pigmennya yang memberikan warna kuning kepada kunyit. Pigmen yang dikenali sebagai curcumin itu mempunyai pelbagai khasiat dan digunakan dalam perubatan tradisional sebagai penawar beberapa jenis penyakit.
Pengkaji herba dari Universiti Oxford, Prof. Gerard Bodeker berkata, kunyit merupakan salah satu daripada bahan penyembuh penyakit terbaik di dunia dan telah lama digunakan secara meluas terutamanya di Asia.
“Jika anda ke Jawa, Indonesia, kunyit masih lagi digunakan untuk pelbagai kegunaan dalam kehidupan rakyatnya dan ia tidak berlaku di negara ini.
“Justeru, tradisi penggunaan kunyit untuk tujuan kesihatan perlu dihidupkan kembali,” katanya dalam satu temu bual di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Ujarnya, kunyit mempunyai pelbagai khasiat kepada tubuh badan manusia antaranya termasuklah asma, kekejangan, darah tinggi, sesak nafas, hidung berair, batuk, resdung, gangguan hati, tiada selera makan, sakit sendi, kencing manis dan luka.
Selain itu, kunyit juga berfungsi sebagai bahan aktif utama yang mampu menguatkan sistem imunisasi atau pertahanan badan daripada serangan penyakit.


Imunisasi
“Kunyit merupakan bahan yang mampu menguatkan sistem imunisasi badan daripada serangan penyakit tertentu.
“Hasil kajian yang dilakukan oleh sebuah universiti terkemuka di Barat menunjukkan, penduduk India mempunyai sistem pertahanan badan yang lebih baik berbanding penduduk di Amerika Syarikat. Ini disebabkan pengambilan kunyit dalam masakan seharian mereka,” katanya.
Curcuma longa mengandungi komponen bioaktif politenol membantu untuk mencegah tanda awal kanser dan merosakkan sel kanser yang bermutasi.
Kurkumin yang bertindak mengganggu proses mutasi sel kanser ini menyebabkan sel-sel tersebut tidak dapat mengembang atau menjadi lembab dan kurang aktif terutamanya kanser payudara dan prostat.
Tambahnya, kunyit mempunyai pakej yang cukup lengkap dalam penjagaan badan manusia iaitu untuk menjaga kesihatan dan kecantikan yang menjadi idaman setiap orang.
Bodeker telah melakukan kajian tentang herba dan perubatan tradisional lebih 20 tahun dan mengkaji tentang herba kunyit kira-kira sedekad.
Penulis buku bertajuk Health and Beauty from The Rainforest itu juga banyak mengulas tentang khasiat-khasiat herba yang terdapat di Malaysia.
Ujarnya lagi, kunyit turut terbukti mampu mencegah penyakit Alzheimer. Alzheimer ialah sejenis gangguan otak yang teruk sehingga mampu mempengaruhi keupayaan seorang untuk melakukan aktiviti seharian.
Hasil ujian klinikal menunjukkan bahawa kunyit mempunyai kandungan bisdemethoxycurcumin, demethoxycurcumin dan curcumin.
“Cantuman ketiga-tiga komponen ini membentuk curcuminoids atau curcuminoid yang mampu menjadi agen semula jadi untuk memperlahankan perkembangan Alzheimer,” katanya.
Selain Alzheimer, kunyit mempunyai keupayaan antioksidan yang mampu meneutralkan radikal bebas yang menjadi akar umbi kepada penyakit kanser.
Radikal bebas merupakan bahan kimia yang meresap ke dalam darah dan merosakkan sel-sel di dalam badan.

Menurut Bodeker, kunyit mengandungi komponen bioaktif polifenol yang membantu mencegah tanda-tanda awal kanser.
Bodeker turut memaklumkan bahawa pengambilan kunyit juga mampu mencantik dan menghaluskan kulit.
Hal ini kerana bahan antioksidan yang terdapat dalam kunyit mampu menjadikan kulit lebih awet muda dan halus sekiranya diambil secara konsisten.
Tambah menarik, walaupun kunyit diambil setiap hari secara berterusan, ia tidak akan meninggalkan sebarang kesan buruk kepada tubuh badan manusia.
“Kunyit merupakan satu bahan yang tidak akan memberi sebarang kesan negatif terhadap tubuh badan sekiranya diambil secara berlebihan seperti bahan lain,” tambah Bodeker lagi.
Kunyit juga banyak digunakan dalam perubatan tradisional Melayu seperti menghilangkan gatal-gatal, kesihatan dalaman wanita dan sebagainya.

Curcuma longa bukan sekadar merawat simptom-simptom kecil alahan atau herba untuk wanita selepas bersalin sebaliknya fungsi universal merangkumi semua golongan.
Jelasnya, kunyit perlu dilihat sebagai herba yang bukan semata-mata untuk perubatan tradisional tetapi mempunyai potensi untuk dimajukan sebagai penawar pelbagai penyakit.


Cuba sabun herba kunyit