Saturday, 24 May 2014

Rahsia herba untuk kesihatan


Sekarang ini kita sering mendengar ramai menghidap pelbagai penyakit. Malah, agak pelik jika diteliti kerana puluhan tahun lalu, statistik mengenai penyakit berbahaya tidak begitu tinggi.
Apa lebih merisaukan ialah apabila kita sendiri atau orang terdekat menerima ujian dari Allah SWT. Kita sudah sedia maklum dengan khasiat dan kemampuan pelbagai tumbuhan semula jadi untuk membantu mengatasi pelbagai penyakit. 

Dari yang mudah diperolehi seperti pegaga, ulam-ulaman, buah-buahan tempatan kepada tumbuhan negara asing seperti beri, guarana, ginseng dan kaktus.
Manakala antara bahan yang banyak memberi kelebihan dalam penjagaan kesihatan ialah sireh, delima, guarana dan maca.

Sireh sebagai penawar 

Di zaman silam, sireh merupakan salah satu pendekatan perubatan tradisional yang penting, bukan saja di Tanah Melayu malah di rantau Asia. 

Di India, sireh digunakan untuk mengubati penyakit di mulut, tekak dan lapisan perut. Di Afrika Timur, daunnya digunakan untuk ulser, selesema serta radang kerongkong. 

Masyarakat Filipina menggunakan sirih untuk mengubati masalah gastrik dan penyakit paru-paru yang dihadapi kanak-kanak. 

Manakala di Kemboja, daun sirih yang ditumbuk dijadikan losyen mandian untuk mengubati penyakit seperti demam, demam campak, kelenjar membesar dan lymphagitis. 

Di Indonesia, daunnya yang segar dicampurkan ke dalam bahan perubatan lain sebagai rangsangan antiseptik, gatal-gatal, astringen dan masalah dalaman lelaki. 

Hasil penemuan kajian saintifik mendapati tumbuhan herba seperti sireh mengandungi rangkaian bahan komponen aktif semula jadi yang amat berguna dalam dunia perubatan. 

Ia mengandungi antiseptik semula jadi yang berupaya membunuh kuman, bakteria dan kulat dengan khasiat hemostasis yang dapat melancar darah dan menghentikan perdarahan. 

Delima untuk kesihatan jantung 

Buah delima atau ar-rumman dalam bahasa Arab turut disebut dalam hadis mauquf yang antara lain Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: 

“Buah delima adalah di antara buah-buahan syurga, tidak ada satu pun buah delima yang kalian tanam melainkan ia dibuahi dengan biji buah delima syurga.” 

Petikan dari Surah al-An’am ayat 99 pula ada menceritakan mengenai delima: “Perhatikanlah kamu kepada buahnya apabila ia berbuah dan ketika masaknya. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda (yang menunjukkan kekuasaan Kami) bagi orang-orang yang beriman.” 

Terdapat kajian menunjukkan buah delima mengandungi bahan antioksidan (flavonoids) bagi meneutralkan dan melindungi sel kulit daripada kerosakan sel yang disebabkan oleh radikal bebas. 

Radikal bebas sebenarnya memusnahkan sistem pertahanan badan yang membawa kepada punca pelbagai penyakit. 

Di antara khasiat buah delima adalah untuk membaik pulih fungsi hati, membantu penghadaman serta mengurangkan alahan bagi wanita mengandung. Selain itu, delima juga mampu mengubah suai hormon bagi wanita yang sudah menopaus, membaiki sistem pembersihan dan pengaliran darah. 

Dari segi kecantikan, ekstrak buah delima dikatakan dapat mencantikkan kulit wajah dan badan agar kelihatan lebih cantik bermaya. Khasiat lain buah delima termasuk mengurangkan pengumpulan lemak di dinding pembuluh darah, yang menjadi punca penyakit jantung. 



Rahsia Maca untuk lelaki 

Satu-satunya bahan herba yang digunakan pahlawan di Peru dan para atlik sukan Olimpik untuk mendapatkan lonjakan tenaga dengan cepat. Maca adalah sejenis tumbuhan unik dan hanya dijumpai di Banjaran Gunung Andes, Peru. 

Menurut buku The Healing Power of Rainforest Herbs, maca mempunyai kandungan garam galian yang tinggi, menjadikan maca kaya dengan pelbagai khasiat seperti asid amino dan asid lemak penting. 

Ia turut dikenali sebagai ‘Peruvian Ginseng’ di negara barat kerana keupayaannya merangsang libido lelaki dan wanita. 

Menurut satu kajian dijalankan Balick MJ Lee R dalam buku ‘Maca: From Traditional Food Crop To Energy and Libido Stimulant’, ekstrak maca ini dapat membantu mengaktifkan rangsangan dan mengurangkan masalah dalaman lelaki dengan baik terutama golongan lelaki berumur 40 tahun ke atas. 

Ia juga dapat memberi tenaga berterusan, meningkatkan kekuatan otot dan mengimbangi hormon dalam badan. 


Guarana melawan keletihan 

Jika anda memerlukan sesuatu yang mampu melawan keletihan terutama pada setiap hari pulang dari kerja, maka Guarana adalah jawapannya. 

Ia dianggap sebagai sejenis herba yang mempunyai kandungan kafein semula jadi yang begitu tinggi.

Menurut kajian dari University of Northumbria, antara khasiat lain guarana atau ‘superfood’ ini adalah untuk membekalkan tenaga berterusan terutama kepada mereka yang berumur. 

Guarana juga membantu membakar lemak berlebihan dalam badan dan sekali gus menurunkan berat badan dengan mudah. 

Sebagai seorang Islam kita harus berusaha berlandaskan lunas Islam dan mempercayai semua penyakit ada penawarnya kecuali mati.

No comments:

Post a Comment