Friday, 19 December 2014

Golongan Manusia Yang Didoakan Oleh Malaikat


1) Orang yang sedang duduk menunggu waktu solat.

Imam Muslim meriwayatkan dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya, “Tidaklah salah seorang antara kalian yang duduk menunggu solat, selama ia berada dalam keadaan suci, kecuali kalangan malaikat akan mendoakannya: ‘Ya Allah, ampunilah dia, Ya Allah sayangilah dia.’” (Sahih Muslim no. 469)



2) Orang yang berada di saf depan solat berjemaah.

Imam Abu Dawud dan Ibnu Khuzaimah meriwayatkan dari Barra’ bin ‘Azib r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat ke atas (orang) yang berada pada saf depan.” (hadis ini disahihkan oleh Syaikh Al Albani dalam Shahih Sunan Abi Dawud I/130)



3) Orang yang menyambung saf pada solat berjemaah (tidak membiarkan kekosongan di dalam saf).

Para Imam seperti Imam Ahmad, Ibnu Majah, Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban dan Al Hakim meriwayatkan dari Aisyah r.ha bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya : “Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat selalu berselawat kepada orang yang menyambung saf-saf.” (hadis ini disahihkan oleh Syaikh Al Albani dalam Shahih At Targhib wat Tarhib I/272)



4) Malaikat mengucapkan 'amin' ketika seorang imam selesai membaca al-Fatihah.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya : "Jika seorang imam membaca...(ayat terakhir al-Fatihah sehingga selesai), ucapkanlah oleh kamu 'amin' kerana sesiapa yang ucapannya itu bertepatan dengan ucapan malaikat, dia akan diampuni dosanya yang lalu."



5) Orang yang tetap duduk di tempat solatnya selepas melakukan solat.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya : "Kalangan malaikat akan selalu berselawat kepada satu antara kalian selama dia ada di dalam tempat solat, di mana dia melakukan solat."



6) Orang yang melakukan solat Subuh dan Asar secara berjemaah.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya : "Kalangan malaikat berkumpul pada saat solat Subuh lalu malaikat (yang menyertai) pada malam hari (yang sudah bertugas malam hari hingga Subuh) naik (ke langit) dan malaikat pada siang hari tetap tinggal. "Kemudian mereka berkumpul lagi pada waktu solat Asar dan malaikat yang ditugaskan pada siang hari (hingga solat Asar) naik (ke langit) sedangkan malaikat yang bertugas pada malam hari tetap tinggal lalu Allah bertanya kepada mereka; "Bagaimana kalian meninggalkan hamba-Ku?" Mereka menjawab; 'Kami datang sedangkan mereka sedang melakukan solat dan kami tinggalkan mereka sedangkan mereka sedang melakukan solat, ampunilah mereka pada hari kiamat.'" 



7) Orang yang berselawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w.

Rasulullah s.a.w bersabda, “Kalau orang berselawat kepada ku maka malaikat juga akan mendoakan keselamatan yang sama baginya untuk itu hendaknya dilakukan, walaupun sedikit atau banyak." (HR Ibnu Majah dan Tabrani). 



8) Orang yang mendoakan kebaikan saudaranya tanpa pengetahuan orang yang didoakan.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya : "Doa seorang Muslim untuk saudaranya yang dilakukan tanpa pengetahuan orang yang didoakannya adalah doa yang akan dikabulkan. Pada kepalanya ada seorang malaikat yang menjadi wakil baginya, setiap kali dia berdoa untuk saudaranya dengan sebuah kebaikan, malaikat itu berkata 'amin' dan engkau pun mendapatkan apa yang ia dapatkan.'"



9) Orang yang membelanjakan (infak) hartanya.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya : "Tidak satu hari pun di mana pagi harinya seorang hamba ada padanya kecuali dua malaikat turun kepadanya, satu antara kedua-duanya berkata: 'Ya Allah, berikanlah ganti bagi orang yang berinfak..."



10) Orang yang sedang makan sahur.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya : "Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat kepada orang yang sedang makan sahur."



11) Orang yang sedang menziarahi orang sakit.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya : "Tidaklah seorang mukmin menjenguk saudaranya kecuali Allah akan mengutus 70,000 malaikat untuknya yang akan berselawat kepadanya di waktu siang hingga petang dan di waktu malam hingga Subuh."



12) Orang yang tidur dalam keadaan bersuci.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya : "Sesiapa yang tidur dalam keadaan suci, malaikat akan bersamanya di dalam pakaiannya. Dia tidak akan bangun hingga malaikat berdoa : "Ya Allah, ampunilah hamba-Mu si fulan kerana tidur dalam keadaan suci."



http://dakuamatmenyintaimu.blogspot.com

No comments:

Post a Comment