Tuesday 4 November 2014

20 daftar sebagai penanam roselle

roselle

Bunga merah roselle atau nama saintifiknya hibiscus sabdariffa L.
Melangkah masuk ke ladang roselle membuatkan ramai terpegun kerana bunga merah yang turut dikenali asam paya, asam kumbang dan asam susur itu tumbuh subur di kawasan terbabit.

Di hadapan ladang itu tertera papan tanda projek tanaman 'Roselle: Kluster Herba Jabatan Pertanian Negeri Johor'.

Agensi pemasaran di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) membantu meningkatkan kualiti produk untuk pasaran eksport.
Hasilnya roselle yang kaya dengan kandungan antioksidan dan vitamin C menembusi pasaran Eropah dan Amerika Syarikat.

Pejabat Pusat Memproses Makanan FAMA Rengit menjadi tulang belakang kepada pemprosesan dan membantu pergerakan pasaran roselle.

Bagi menjamin kualiti yang diperlukan pengeksport, proses penggredan roselle dilakukan FAMA membabitkan Gred A untuk pasaran eksport dan Gred B bagi pasaran tempatan.

Bagaimanapun, semua bahan mentah yang dikumpulkan perlu melalui proses pembersihan rapi terlebih dulu.

Bagi memastikan kebersihan makanan, pelawat dikehendaki memakai penutup rambut atau topi, kasut keselamatan, kod makmal, apron, sarung mulut dan sarung kaki biru.

Di sebalik tanaman roselle itu terbangun sekumpulan petani yang mengusahakan ladang berkenaan.

Mereka antara peserta ladang kontrak FAMA di bawah pengurusan Syarikat Aslah Supply & Services (ahli Kumpulan Syarikat Aslah) atau lebih dikenali ASLAH HIBISCUS.

Pengarah Operasi­nya, Rizuan Nizar berkata, projek itu diusahakan dengan kerjasama FAMA dan Jabatan Pertanian.

Beribu pejabat di Kuala Terengganu, syarikat berkenaan membuka operasinya di Batu Pahat dengan melaksanakan rancangan penanaman, pemprosesan dan pengeksportan roselle menerusi pelabuhan Johor.

"Projek tanaman roselle ini bermula penghujung tahun 2011 di Batu Pahat dan mendapat bekalan dari Rompin dan Mersing," katanya.

Kerjasama dijalinkan itu membolehkan roselle bergred A menembusi pasaran luar negara.

"Untuk gred B, FAMA dan ASLAH akan me­ngedarkan untuk pasaran tempatan," katanya.

Kini terdapat 20 peserta berdaftar menjadi penanam roselle dan mempunyai kontrak aktif bagi memenuhi keperluan pasaran.

"Kami turut menanam tanaman selingan seperti serai gajah dan tanaman kontan yang mempunyai pasaran," katanya.

Katanya, syarikat itu bergerak di sekitar daerah Rengit dan Senggarang, Batu Pahat selain berkembang ke beberapa daerah lain mengikut keperluan pasaran," katanya.

Menurutnya, 20 hektar setahun diperuntukkan untuk projek penanaman roselle yang diusahakan dalam dua fasa.

"Fasa pertama bermula Disember manakala selebihnya pada Mei dan bergerak mengikut momentum pasaran semasa.

"Terdapat tiga peserta wanita aktif terbabit dalam aktiviti perlada­ngan, manakala 100 peratus menggunakan tenaga wanita untuk kerja memetik dan proses pembuangan biji roselle,"
katanya.

Menurutnya, sejak melaksanakan projek itu, peserta kontrak syarikat ada menerima kemudahan pembersihan, kawasan, sistem saliran dan pengairan daripada Jabatan Pertanian.

"FAMA menyalurkan bantuan pusat pengumpulan, khidmat pengambilan dan kemudahan bilik sejuk.

Penasihat tanaman syarikat, Lukman Zainal berkata, syarikat akan menetapkan indeks buah selepas tempoh matang pokok mencapai usia dua setengah bulan dan kerja memetik bunga dilakukan selama tiga bulan.

"Semua pekebun menggunakan sumber air tadahan hujan, sungai dan sistem telaga tiub untuk kawasan ladang.

"Penggunaan bahan kimia seperti racun serangga sangat minimum dan akan dihentikan selepas ia mengeluarkan hasil," katanya.

No comments:

Post a Comment