Friday 7 November 2014

Kementerian Kesihatan larang penjualan SF Protect & Perfect Day Cream

Kementerian Kesihatan larang penjualan SF Protect & Perfect Day Cream
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melarang serta merta penjualan 'SF Protect & Perfect Day Cream' yang dikesan mempunyai racun berjadual logam berat merkuri dan menasihatkan orang ramai supaya tidak menggunakan produk kosmetik itu.
Dalam kenyataan hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata syarikat produk yang dicampur palsu dengan merkuri itu sudah diarahkan memberhentikan penjualan dan pembekalan dengan serta-merta.
"Ia tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia dan pihak syarikat bertanggungjawab ke atas notifikasi produk itu sudah diarah memanggil balik semua stok fizikal produk berkenaan daripada pasaran dalam tempoh 72 jam," katanya.
Noor Hisham berkata, produk yang dicampur palsu dengan merkuri itu lazimnya dipasarkan untuk mencerahkan kulit dan rawatan antipenuaan seperti masalah jeragat, kulit tidak sekata dan kedutan namun pengguna tidak mengetahui penggunaan campuran ini mengakibatkan kerosakan buah pinggang dan sistem saraf apabila merkuri itu menyerap masuk ke dalam badan.
"Sesiapa yang mempunyai stok produk itu dinasihatkan menghentikan penjualan, pengedaran atau penggunaan produk berkenaan dengan serta-merta," katanya.
Beliau berkata, pemilikan produk itu melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan jika didapati bersalah boleh dihukum maksimum tiga tahun penjara dan denda RM25,000 atau kedua-duanya.
Sementara itu, beliau berkata, syarikat yang disabitkan melakukan kesalahan itu boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM50,000 dan hukuman bagi kedua-dua individu ataupun syarikat akan meningkat jika didapati mengulangi kesalahan sama.
Pengguna yang mengalami sebarang kesan sampingan atau kesan buruk akibat penggunaan produk kosmetik, dinasihatkan menghubungi Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK), di talian 03-8835532/5533/5537.
Berita harian 7 november 2014

No comments:

Post a Comment