Wednesday 17 December 2014

Khasiat dan Amalan Dengan Surah Al-Fatihah

Khasiat dan Amalan Dengan Surah Al-Fatihah
Surah ini dinamakan Al-Fatihah (Pembukaan) kerana ia dijadikan sebagai pembuka dan permulaan Al-Quran. Selain dinamai Al-Fatihah (Pembuka), surah ini juga dinamakan Ummul Quran (Ibu Quran) atau Ummul Kitaab (Ibu Kitab) kerana ia merupakan ibu kepada semua isi Al-Quran dan menjadi inti sari dari kandungan Al-Quran itu sendiri. 

Surah ini turut dinamakan As-Sab'ul Matsaani yang bermaksud tujuh ayat yang berulang-ulang kerana ayat ini diulang-ulang bagi setiap solat, Ash-Shalah (Solat), al-Hamd (Pujian), Al-Wafiyah (yang Sempurna), al-Kanzu (simpanan yang Tebal), asy-Syafiyah (yang Menyembuhkan), Asy-Syifa (Obat), al-Kafiyah (yang Mencukupi), dan al-Asas (Pokok).

Allah SWT berfirman:- “Wahai Muhammad, sesungguhnya Surah Al Fatihah mengandungi tujuh ayat, neraka pula mengandungi tujuh pintu. Barangsiapa membacanya, AKU haramkan ketujuh-tujuh pintu neraka itu” dan untuk orang yang membaca Al-Quran pula, setiap satu huruf yang dibaca AKU beri kepadanya satu pohon kayu dalam taman di syurga yang penuh nikmat.

Surah Al Fatihah sunat dibaca bila masuk dan keluar masjid. Disunatkan melafaz “Aamin” ketika selesai membaca surah Al Fatihah. Perkataan ‘Aamin’ maksudnya memohon ke hadrat Allah S.W.T agar permintaan dikabulkan. Bacaan ini amat baik diucapkan serentak dengan ucapan imam (selepas bacaan surah al-Fatihah) kerana ia adalah suatu saat yang mulia iaitu saat terbukanya pintu keampunan Ilahi kepada hamba-hamba-Nya. Sebaik-baik sebutan 'Aamin' adalah tidak melebihi dua ‘harakat’ dan sebutannya juga janganlah terlampau nyaring, cukuplah dengan suara yang sederhana sahaja bunyinya.


FADILATNYA:-

1. Surah Al-Fatihah adalah ubat untuk segala penyakit, kecuali mati. Ia adalah ubat untuk 70 macam penyakit yang dapat menyembuhkan dengan serta merta, samada yang berbentuk tulisan mahupun bacaan. Untuk mengubati demam panas, bacalah Al Fatihah 7 kali, selawat 11 kali kemudian tiupkan kepada sedikit kapas dan letakkan kapas itu di telinga kanan pesakit. Selepas itu baca pula Al Fatihah 5 kali serta selawat 11 kali, tiupkan kepada sedikit kapas dan diletakkan di telinga kiri pesakit. Kemudian ubahlah kedudukan kapas yang di telinga kanan ke telinga kiri dan sebaliknya. InsyaAllah demam panas akan berkurangan.

2. Membacanya mendapat pahala seperti membaca sepertiga Al-Quran

3. Untuk memohon sesuatu hajat yang baik kepada Allah SWT termasuk untuk mendapatkan kenaikan pangkat, untuk mendapat rezeki yang banyak, untuk dapat menyelesaikan hutang, menyembuhkan penyakit, agar anak menjadi soleh dll, baca 41 kali setiap hari, waktunya di antara solat sunat Subuh dan solat Fardhu Subuh selama 40 hari. Jika sakit, akan lekas sembuh dan dikasihi oleh makhluk dan ditakuti oleh musuh. InsyaAllah hajat kita akan ditunaikan Allah SWT.

4. Barangsiapa membaca 20 kali sesudah solat fardhu, rezekinya dilapangkan oleh Allah SWT, dibaiki akhlaknya, dimudahkan urusannya, dihilangkan kesusahannya dan mendapat berbagai berkat dan penghidupan baik serta bercahaya rohaninya. Begitu pula anak-anaknya terlindung dari kemudaratan dan kerosakan serta Allah SWT anugerahkan kebahagiaan dan sebagainya.

5. Ahli neraka diberhentikan siksaannya selama 40 hari apabila anaknya yang masih hidup menyedekahkan Surah Al Fatihah kepadanya.

6. Baca surah ini 111 kali pada sepertiga malam terakhir, dan sebaik-baiknya dijadikan amalan untuk beberapa malam. InsyaAllah rezeki akan diperolehi tanpa bersusah payah.

7. Ayat 4-5 dibaca sebanyak mungkin ketika berdepan dengan musuh.



"Yang Berkuasa mengadili pada hari pembalasan. Engkau (Ya Allah) yang kami sembah, dan kepada-Mu kami minta tolong.

8. Baca Al Fatihah 14 kali sebelum tidur dan niatkan supaya suami dan anak-anak selalu mengingati anda.

9. Untuk bayi yang kerap menangis malam, bacakan Al-Fatihah 7 kali sambil mengusap kepala bayi.

10. Untuk mengubati sakit gigi, letakkan jari pada tempat yang sakit lalu baca AlFatihah 7 kali dan doa “Ya Allah, hilangkan daripada keburukan dan kekejian yang aku dapati dengan doa Nabi-MU yang jujur (Al-Amin) dan tetap di sisi MU”.

11. Ayat 6-7 diamalkan banyak-banyak untuk memohon petunjuk yang betul terutama sekali ketika berada dalam perhimpunan ramai, di majlis sosial, mendengar orang memfitnah, maki hamun, dan sebagainya.



"Tunjukkanlah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang yang Engkau kurniakan nikmat ke atas mereka, bukan jalan orang yang Engkau murkai dan bukan pula jalan orang yang sesat."

12. Amalkan membaca Al Fatihah 70 kali setiap hari dalam keadaan berwuduk dan ditiupkan pada air lalu diminum selama 7 hari. InsyaAllah akan mudah memperolehi ilmu pengetahuan di samping itu dapat mengawal hati dan fikiran daripada perkara-perkara yang merosakkan.

13. Sebagai pendinding, baca sebelum tidur dan bangun tidur selawat 21 kali ke atas Nabi, Al Fatihah, surah Al-Ikhlas, An-Naas dan Al-Falaq. Insya-Allah jika terkilas pun, ilmu sihir mampu ditepis.

14. Baca AlFatihah 21 kali dan hembuskan ke dalam gelas air minuman atau botol air dengan apa-apa niat yang baik, seperti melembutkan hati anak-anak/pasangan kita, menambahkan kasih sayang, supaya rajin solat dan sebagainya dan diberi minum kepada mereka.

15. Ibnu Abas r.a menyatakan Rasulullah s.a.w. melihat cucunya Saidina Hassan Bin Ali r.a. sakit lalu mengambil air dan membacakan Al-Fatihah 40 kali dalam satu bekas. Kemudian doa "Ya Allah, sembuhkanlah kerana Engkah Maha Penyembuh. Ya Allah, lindungkanlah kerana Engkau Maha Pelindung. Ya Allah, pulihkanlah kerana Engkau Maha Pemulih". Setelah itu sapukan air ke muka, kepala dan dua belah tangan dan kaki serta perut dan mana-mana anggota yang nyata, insyaAllah akan afiat.


16. Zikir Al Fatihah untuk murahkan rezeki:-

a. Selepas Solat Subuh, baca AlFatihah 21 kali dengan niat supaya Allah SWT limpahkan rezeki.
b. Selepas Solat Zohor, baca AlFatihah 22 kali dengan niat yang sama.
c. Selepas Solat Asar, baca AlFatihah 23 kali dengan niat yang sama.
d. Selepas Solat Maghrib, baca AlFatihah 24 kali dengan niat yang sama.
e. Selepas Solat Isyak, baca AlFatihah 10 kali dengan niat yang sama.

Ini bermakna setiap hari setelah selesai solat dan wirid, hendaklah membaca Surah AlFatihah sebanyak 100 kali berserta niat. Kemudian doa moga Allah SWT melimpahkan rezeki.

No comments:

Post a Comment